Hembusan
angin pagi yang mendayu mencucuk-cucuk tubuh badanku dan menusuk tajam sehingga
ke pangkal tulang-belulangku. Bunyi kicauan burung yang ingin keluar mencari
makanan sangat merdu kedengarannya di telingaku.Hari ini merupakan hari yang
sangat damai dan menenangkan kerana tiada lagi bunyi-bunyi kenderaan yang
sangat bising dan memekakkan telingaku seperti kebiasaannya ketika aku bangun
pagi.
Al-maklumlah
tinggal di kawasan metropolitan yang sedang maju dan sering disogok oleh
perubahan-perubahan yang membawa kepada kepesatan-kepesatan bangunan pencakar
langit yang menyesakkan pandangan malah menyempitkan lagi kawasan yang telah
sememangnya sesak itu. Akhirnya dapat juga aku melepaskan kerinduan yang amat
mendalam terhadap kampung halamanku. Siapa yang tidak sayang dan cinta pada
kampung sendiri kan. Amatlah dan sangatlah sayang aku terhadap kampungku ini,
di sinilah tempat aku membesar, tempat aku bermain pondok-pondok, galah
panjang, teng-teng dan pelbagai lagi jenis permainan yang menyeronokkan pada
zaman kanak-kanakku.
Di
kampung ini jugalah tempat aku dilahirkan, di mana aku telah belajar erti penat
susah, jerih payah kedua ibu bapaku memerah kudrat mereka semata-mata untuk
membesarkan kami tujuh beradik. Ya, kami bertujuh bersama-sama berkongsi segala,
bekongsi permainan, baju, tempat tidur, tempat mengadu pada zaman kecil. Kami
juga bermandi parit bersama-sama dan kena marah, dirotan juga bersama-sama.
Masih ku ingat riak muka ayah yang berkerut sejuta menampakkan kemarahan yang
nyata melemaskan kesabarannya tatkala itu. Lantas diambil rotan dan memarahi
kami semua lalu apalagi nantikan pukulan-pukulan yang tajam daripada sang
batang yang licin berwarna coklat terang hinggap di kaki-kaki kami yang comel
pada ketika itu. Pada waktu itu aku tidak mengerti kenapa ayah memperlakukan
kami seperti itu. Adakah ayah tidak ada sekelumit pun perasaan sayang dan kasih
pada anaknya? Hanya lirikan mata abang sulung kami yang memandang kami,
menyuruh kami menahan tanpa bersuara singgah pada pandanganku. Kepedihan dan
keperitan daripada hinggapan sang rotan masih terasa sehingga kami hendak
berjalan pun terjengket-jengket. Sudah serupa orang cacat aku tengok semua
jalan sebegitu rupa. Apalagi ibu terchentaku bersuara "tu lah, siapa suruh
buat benda yang ayah tak suka". Aku mengerti dia bukan berniat untuk
memerli tapi naluri keibuannya risau jika kami melakukan sesuatu yang akan
mendatangkan musibah dan membahayakan diri kami. Kami bertujuh tidak pernah
disogok dengan makanan-makanan ataupun susu tin yang berjenama dan mahal-mahal,
cukuplah dengan nasi lenyek berlaukkan sayur 'blend', digaul dengan rata
bersama kicap cap 'Jalen', sudah cukup mengenyangkan perut kami sepenuh hari.
Malah masih aku ingat ayah memberi kami duit belanja 50 sen sahaja untuk
sekolah pagi dan petang, pada aku sudah cukup kerana ibu membekalkan kami
dengan makanan. Malahan aku tidak cemburu dengan rakan-rakan sepermainanku
kerana duit belanja mereka lebih dari aku. Tetapi inilah yang membuatkan aku
sentiasa bersyukur dan berjimat setiap hari sehingga aku berniat untuk
mengumpul duit dengan menabung sebanyak 20 sen sehari.
Setelah
meningkat dewasa,barulah aku mengerti mengapa dan kenapa ayah melakukan semua
itu semenjak kami kecil lagi. Semua itu untuk kebaikan kami bertujuh supaya
menjadi seorang yang berguna pada masa hadapan. Ketegasan ayah mendidik kami
telah menjadikan kami seorang yang sentiasa tabah dalam menghadapi sesuatu
masalah dan tidak mudah berputus asa. Masih ku ingat cerita ibu tentang kakak
tunggalku pada zaman kecilnya, kakak pernah dikurung di luar rumah tidak diberi
masuk oleh ayahku. Semuanya gara-gara kelancangan mulut kakak yang merungut
tentang lauk yang dimasak oleh ibu pada malam itu. Ayah paling pantang dengan
orang yang merungut dan bersugul di depan makanan. Lalu ayahku menarik kakakku
dan menguncinya di luar rumah. Apalagi meraung-raung dia menangis minta
dibukakan pintu, rayuan dan rengekkannya tidak diendahkan, setelah reda
tangisannya, mata pun sudah layu diulit ngantuk lalu tidurlah kakak di dalam
kereta sorong yang berada di bawah rumah dengan hanya bertemankan sinaran
rembulan pada malam itu.
Ya,
insan yang bernama ayah yang dulu ku anggap tidak menyayangi dan mengasihi kami
sebenarnya merupakan insan yang paling berjasa dalam membentuk dan mendidik
kami. Terlalu banyak pengorbanan yang dilakukan oleh ayah semata-mata untuk
melihat kami berjaya. Pesan ayah, "kamu belajar betul2 ye,ayah dengan mak
tak pandai macam kamu, ayah tak boleh sambung belajar sebab tak ada duit".
Ayah memerah kudrat kejantanannya melakukan kerja2 kebun dan menyawit demi
untuk melangsungkan hidup kami sekeluarga. Tidak dilupakan juga didikan ayah
tentang ilmu2 agama yang sering diajar pada kami. Seawal umur 5 tahun kami
semua sudah sembahyang malahan ibu sendiri yang mengajar kami mengaji 'muqadam'
setiap hari sehingga kami naik ke peringkat mengaji Al-Quran. Alangkah
beruntungnya aku ketika itu jika dibandingkan dengan rakan2 lain kerana mereka
dihantar mengaji di rumah orang lain berbeza dengan aku. Masih ku ingat setiap
pesanan ayah supaya sentiasa rajin melakukan puasa sunat,juga solat2 sunat
seperti solat dhuha, kerana kata ayah dengan melakukan solat dhuha boleh
meluaskan pintu rezeki seseorang itu. Ayah juga melarang keras anaknya jika
tidur selepas subuh. Tak elok katanya, kami apalagi melihat wajah tegas ayah
terus tunduk patuh membaca buku sedangkan kepala sudah tersengguk-sengguk
menahan nafsu mata yang ingin menyambung kerja yang tertangguh itu iaitu tidur.
Kini,
semuanya hanya tinggal kenangan yang tersimpan kemas, rapi dalam lipatan
memoriku. Hilai gelak tawa, herdikan amarah, senyuman, muka cemberut masam,
wajah yang bersih sewaktu mengimamkan kami sembahyang, wajah yang sering
menghiasi zaman kanak-kanak dan remajaku sudah luput dan hilang dari pandangan
sisi panca indera mataku. Sebak. Sesak. Sesal. Pedih. Sayu. Segala perasaan
bercampur dan membuatkan titis-titis halus merembes setitik demi setitik di
pipi, lalu menjadi seperti segunung beserta dengan esak sendu, menandakan
kekesalan mungkin kerana insan ini 'pergi' terlebih dahulu daripada
diriku.............
No comments:
Post a Comment